MUSIM hujan datang kembali. Di Malaysia, pengguna jalan raya, terutama penunggang motosikal memang tidak dapat lari daripada hujan.
Menunggang di dalam hujan atau atas jalan basah adalah cabaran buat mana-mana penunggang tanpa mengira apa jenis motosikal dan tahap kemahiran yang anda miliki. Jadi, kami sediakan 10 tip keselamatan mengenai cara mengendalikan motosikal ketika hujan.
1. PERLAHANKAN KELAJUAN
Memperlahankan kenderaan memang sesuatu yang kita wajib tahu apabila hujan. Air yang bertakung atas jalan akan menyebabkan tayar hilang cengkaman akibat disebabkan berlaku situasi aquaplane.
2. …TETAPI JANGAN TERLALU PERLAHAN
Berapa perlahankah kita harus menunggang? Jawapan spesifik bergantung kepada jenis tayar, keadaan tayar, jenis motosikal, kuasa enjin, bantuan elektronik, tahap skil penunggang, dan sebagainya. Secara am, kita harus menunggang pada kelajuan yang membolehkan kita mengawal jentera dengan sempurna dan tidak terlalu perlahan.
Ini ialah roda motosikal menghasilkan daya giroskopik (gyroscopic force) ketika berpusing. Daya inilah yang memberikan imbangan kepada motosikal untuk bergerak secara menegak atas dua roda. Jadi, motosikal lebih stabil jika ditunggang lebih laju kerana menghasilkan lebih daya giroskopik dihasilkan.
Jika kita bergerak terlalu perlahan, motosikal berisiko tumbang jika menempuh sesuatu rintangan seperti lopak air dalam. Juga, motosikal akan rasa berat dan tidak senang dikawal apabila terlalu perlahan, terutama motosikal besar.
Selain itu, roda yang berpusing menghasilkan daya sentifugal (centrifugal force) pada permukaan tayar untuk mengaut air daripada permukaan tayar supaya dapat mencengkam jalan. Jadi, tungganglah pada halaju stabil dan mampu memberikan anda respon kawalan terbaik.
3. TUNGGANG SECARA LANCAR
Semua pergerakan harus dirancang awal. Ini membolehkan kita tidak memecut, membelok, membrek atau menukar gear melulu. Kelancaran tunggangan memberikan masa untuk tayar bertindak seperti sepatutnya.
4. PANDANG JAUH DAN LUAS
Kami berpendapat ramai pengguna jalan raya tidak menggunakan deria pandangan dengan betul ketika memandu atau menunggang. Ini bukan salah kita sebab kita tidak diajar teknik penglihatan yang betul di sekolah memandu.
Kita harus alihkan perhatian kita dan bukan hanya menumpukan satu kawasan di depan. Sebaliknya, gerakkan pandangan ke beberapa tempat seperti pandang ke depan sejauh boleh. Selain itu, gerakkan pandangan ke sisi sebelah kanan dan kiri.
Jadi mata seperti radar untuk mengimbas jalan di depan, dan jangan lupa periksa cermin pandang belakang. Ini membolehkan anda menjangka sebarang situasi berbahaya dengan lebih awal. Ingat petua nombor tiga tadi?
5. RELAKSKAN BADAN
Menungganglah dengan relaks, terutama siku dan pinggang. Ini membolehkan casis dan suspensi motosikal berfungsi sebetulnya. Sebaliknya, motosikal sukar dikawal jika menunggang dengan gaya mengeraskan badan (mungkin sebab kesejukan). Malah, akan rasa lebih cepat penat dan stres. Ini membuatkan ramai penunggang tidak suka menunggang dalam hujan.
6. APA KENA BUAT KALAU TAYAR MENGGELINCIR?
Tayar yang menggelincir (sliding) bukan maksud tiada harapan lagi kerana tayar itu sedang mencari cengkaman dan posisi yang stabil. Apa perlu buat adalah kekal relaks dan tidak melakukan sesuatu secara mendadak dengan mengekalkan posisi terotel.
Kita boleh tegakkan motosikal sedikit ketika dalam selekoh. Jangan sesekali terus lepaskan terotel atau tekan brek! Jika anda sedang laju dan tayar mula menggelincir, tutup terotel dengan lembut.
Di sini, petua nombor 5 adalah penting. Jika mengeraskan badan, tayar motosikal akan menggelincir lebih teruk hingga menyebabkan kita hilang kawalan dan terbabas.
7. TEKNIK REDAH BANJIR
Ghairah tengok gambar motosikal advencer meredah banjir? Itu boleh dilakukan kerana mereka sudah tahu tahap kedalaman air dan sebarang rintangan dalam air sebelum beraksi seperti itu.
Jika terpaksa menempuh air yang dalam seperti banjir, tunggang perlahan, guna gear rendah (2 atau 3) dan pulas terotel berterusan. Jangan pula main-main pulas-tutup terotel. Biarkan terotel dipulas secara konsisten, dan gunakan brek belakang jika hendak perlahankan motosikal.
8. JANGAN KHAYAL
Berkhayal adalah perbuatan paling berbahaya ketika menunggang. Anda mungkin terlalu penat selepas seharian bekerja, tetapi harus kekal fokus. Gunakanlah petua nombor 4 supaya fikiran sentiasa aktif. Lebih baik nikmati masakan isteri apabila selamat sampai rumah daripada terlantar di wad hospital akibat terleka kerana memikir isteri masak apa.
9. TAHU FUNGSI ABS
Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) ialah 'kawan baik' motosikal jika kita terpaksa membrek atas jalan basah atau licin. Ini kerana ABS berfungsi melepaskan tekanan brek supaya tayar tidak terkunci dan menggelincir, serta mencengkam kembali selagi kita menarik dan menginjak brek.
Tuil brek bergetar adalah tanda mudah ABS motosikal anda berfungsi. Jangan pula terkejut sampai lepaskan brek tiba-tiba.
10. PASANG LAMPU
Bagi motor yang bukan auto pasang.. kalau tak pemandu lain seperti kereta dan lori tak nampak kamu nanti.
11. PAKAI VISOR JERNIH
Untuk mengelakkan pandangan mata terganggu kerana angin, air hujan
12. PASTIKAN JARAK SELAMAT
Minimum satu meter dari kenderaan depan. Permukaan jalan basah membuatkan tahap cengkaman tayar berkurangan. Elakkan membrek mengejut kerana boleh menyebabkan anda terjatuh atau terlanggar kenderaan depan.
Sekiranya Tips Ini Bermanfaat Sila Share Kepada Rakan Anda