Pengetahuan mengenai masalah kebocoran sistem ekzos boleh membantu mengelakkan insiden-insiden yang tidak diingini daripada berlaku yang boleh membahayakan nyawa dan kesihatan. Jika anda mengesan tanda-tanda kerosakan atau kebocoran ini pada sistem ekzos kereta anda, segera dapatkan bantuan dan nasihat pakar untuk pemeriksaan dan pembaikan.
1. Bunyi Kuat Atau Pelik Pada Bahagian Sistem Ekzos
Secara amnya, jika anda mendapati terdapat bunyi yang lebih kuat daripada biasa dihasilkan pada bahagian ekzos, anda disarankan untuk memeriksa sistem ekzos untuk mengetahui sebarang kerosakan atau kebocoran. Kereta yang mengalami kebocoran ekzos biasanya akan menghasilkan bunyi yang kuat terutamanya semasa memecut. Lazimnya, ekzos kereta yang bocor akan menghasilkan bunyi berdesis (hissing – bunyi seperti gas bocor) atau ketak-ketik (tapping – bunyi seperti hujan jatuh di atas atap rumah). Biasanya, bunyi ini terhasil lebih kuat semasa enjin dalam keadaan sejuk atau semasa anda memecut kenderaan.
Namun begitu, simptom bunyi ini sukar untuk dikesan kerana selain sistem ekzos, sistem lain juga menghasilkan bunyi-bunyi tertentu semasa kenderaan beroperasi. Walau bagaimanapun, jika anda mengesan sebarang bunyi yang berbeza daripada biasa, segera dapatkan bantuan dan pemeriksaan lanjut.
2. Kecekapan Bahan Api Menurun
Sistem ekzos memerlukan nisbah kandungan bahan api dan udara yang betul untuk menghasilkan tahap kecekapan bahan api yang bersesuaian. Jika berlaku kebocoran dalam sistem ekzos, ia secara tidak langsung akan menyebabkan prestasi enjin merosot sekali gus meningkatkan penggunaan bahan api. Ini kerana lebih banyak bahan api diperlukan untuk mencapai tekanan yang betul untuk memberikan tenaga yang diperlukan oleh kenderaan.
3. Kuasa Pecutan Berkurangan
Kebocoran sistem ekzos terutamanya pada bahagian manifold atau perongga ekzos secara tidak langsung boleh merosakkan injap dan seperti dinyatakan di atas, akan meningkatkan penggunaan bahan api. Ini menyebabkan kuasa enjin menjadi lemau sekali gus mengurangkan kuasa pecutan enjin sesebuah kenderaan.
4. Gegaran Pada Pedal Minyak
Jika berlaku gegaran pada bahagian pedal minyak kereta anda – besar kemungkinan bahagian ekzos kereta anda bocor. Lazimnya, gegaran pada bahagian pedal minyak adalah disebabkan oleh kebocoran paip ekzos, dan ia berkadar langsung dengan saiz kebocoran paip ekzos. Dalam erti kata lain, semakin besar saiz kebocoran, semakin teruk gegaran yang dialami oleh pemandu. Jika simptom dibiarkan, gegaran ini boleh bertambah buruk dan menyebabkan bahagian stereng dan lantai kereta turut mengalami situasi yang sama.
5. Bau Asap Dalam Kabin
Jika sistem ekzos kereta anda mengalami masalah atau kebocoran, ia boleh dikesan melalui bau yang dihasilkan. Gas karbon dioksida (CO2) yang memasuki ruang kabin akan menghasilkan bau yang tidak menyenangkan. Namun begitu, ia berbeza jika ekzos kereta anda mengalami kebocoran gas karbon monoksida (CO) kerana gas karbon monoksida tidak berwarna dan tidak berbau!
Secara amnya, keracunan karbon monoksida adalah kes keracunan udara yang menyebabkan maut yang paling biasa berlaku. Gas karbon monoksida yang tinggi dalam udara akibat kebocoran ekzos akan menurunkan kandungan oksigen dalam kenderaan. Ia boleh menyebabkan kematian terutamanya jika pemandu dan penumpang sedang tidur dalam kereta.
Oleh itu, anda disarankan untuk sentiasa periksa sistem ekzos kenderaan anda di pusat pemeriksaan bertauliah secara berkala bagi memastikan sistem ekzos berada dalam keadaan baik dan selamat.
Sekiranya Tips Ini Bermanfaat Sila Share Kepada Rakan Anda