Biasanya, kerosakan sebegini terjadi kepada enjin yang sudah tua. Justeru, gejala ini kurang terjadi kepada kenderaan yang berjalan kurang daripada 100,000 kilometer.
Harus diingat, ada beberapa punca yang menyebabkan berlakunya kerosakan itu, iaitu sama ada sambungan sistem batang pendikit (throttle) dari pedal petrol ke karburetor kurang baik, elemen daripada penapis udara kotor atau tersumbat dan saat penyalaan terlalu lambat.
Kerosakan Pada Saluran Minyak
KEROSAKAN pada saluran minyak dalam karburetor dan pengatur saat penyalaan pada distributor tidak berfungsi dengan baik turut mempengaruhi prestasi pecutan sesebuah kereta.
Berikutan itu apa yang perlu dilakukan ialah membuat beberapa pemeriksaan pada bahagian enjin kenderaan.
Mula-mula, anda perlu memeriksa batang yang menghubungkan pedal petrol dengan karburator iaitu dengan memeriksa katup petrol (throttle) sama ada terbuka atau tertutup apabila pedal petrol dipijak dan dilepaskan kembali. Bagaimanapun, jika ada pasak sambungan yang sudah haus (sehingga sambungannya longgar), untuk sementara waktu keadaan itu dapat diperbaiki dengan menggunakan kawat atau pembalut getah.
Penapis Udara Tersumbat
KEMUDIAN anda perlu memeriksa penapis udara sama ada ia tersumbat. Apabila ternyata bahawa elemen penapis udara agak kotor, maka ia menunjukkan bahawa penapis udara itu tersumbat dan ia perlu dibersihkan segera. Ada dua jenis penapis udara iaitu penapis jenis kertas dan penapis dengan minyak. Cara membersihkan setiap jenis penapis adalah berbeza dan perlu dilakukan dengan cermat.
Sekiranya penapis udara itu sudah lama digunakan, langkah terbaik adalah menukarnya kepada penapis baru supaya pengedaran udara dalam enjin lebih lancar.
Selain itu, pembaikan kecemasan terhadap kerosakan yang terjadi akibat kemasukan petrol yang terlalu banyak atau terlalu sedikit dan kerosakan pada paip petrol serta kerosakan pada alat (vakum) pengatur saat penyalaan turut menjadi punca kepada masalah itu.
Penyalaan Enjin Tidak Tepat
PENGGUNA kereta harus sedar dan sentiasa mengambil tahu apabila berhadapan dengan masalah prestasi pecutan kereta tidak memuaskan. Minta bantuan mekanik untuk memeriksa sistem penyalaan, penyaluran petrol kurang tepat atau tersumbat, enjin terlalu panas, kerosakan cekam (clutch), brek ketat atau tekanan enjin tidak cukup.
Justeru, bila berhadapan dengan keadaan itu pemeriksaan terhadap puncanya dan pembaikan kecemasan boleh dilakukan, sama ada melakukan memeriksa sendiri (jika tahu) atau memanggil mekanik.
Periksa sama ada penyalaan enjin kereta sudah tepat. Ini dilakukan dengan memeriksa palam pencucuh. Apabila nyalaan elektrik yang terjadi terlalu lemah atau tidak teratur, bukalah penutup pengagih dan periksalah suis penutup arus.
Sistem Penyaluran Petrol
PERIKSA sama ada sistem penyaluran petrol dalam keadaan baik. Apabila petrol yang mengalir ke dalam silinder tidak sesuai dengan yang diperlukan (terlalu banyak atau terlalu sedikit) keadaan itu boleh menyebabkan terjadinya campuran petrol dan udara kurang sempurna, sehingga keupayaan enjin akan berkurangan.
Selain itu, perlu juga periksa sama ada penapis udara tersumbat oleh kotoran. Periksa juga sama ada injap udara (choke) berada dalam keadaan tertutup.
Masalah enjin tidak menghasilkan daya penuh juga terjadi apabila enjin terlalu panas. Periksa juga adakah cekam rosak atau brek bergesel. Adakalanya enjin tidak mengeluarkan daya penuh bukanlah berpunca daripada masalah enjin itu sendiri.
Cekam rosak atau brek yang bergesel menyebabkan keupayaan enjin tidak dapat disalurkan dengan baik sehingga menyebabkan gejala yang sama dengan keadaan enjin tidak mengeluarkan daya penuh.
Sekiranya Tips Ini Bermanfaat Sila Share Kepada Rakan Anda