ADAS ialah singkatan bagi Advanced Driver-Assistance System atau Sistem Bantuan Pemandu. Ia merangkumi semua sistem keselamatan aktif di dalam sesebuah kereta.
Semakin banyak model baharu kini didatangkan dengan ADAS, namun terdapat segelintir pemandu tidak faham fungsi di sebalik ciri keselamatan yang ditawarkan kereta baru mereka, mengikut laporan AAA Foundation For Traffic Safety.
Sebenarnya, ada banyak ciri keselamatan yang dirangkumi ADAS. Di sini, kami senaraikan sistem yang kebiasaannya ada pada kebanyakan kereta di pasaran, termasuk fungsinya dalam membantu pemanduan anda.
1. Adaptive Cruise Control (ACC) with Stop & Go
- ACC atau Kawalan Pelayaran Adaptif adalah sistem kawalan pelayaran pintar yang membantu melaraskan kelajuan kereta anda seiring dengan kelajuan kereta di hadapan anda
- ACC juga memastikan jarak yang selamat antara kereta anda dengan kereta di hadapan menggunakan sensor yang terdapat di hadapan kereta anda
- ACC perlu diaktifkan dengan menetapkan jarak dan kelajuan pada butang setting dalam kereta anda
- Setelah diaktifkan, anda hanya perlu mengemudi stereng dan membiarkan sistem ACC untuk mengawal brek serta kelajuan kereta anda
- ACC kebiasaannya hadir dengan fungsi Stop & Go yang membantu pemanduan ketika di dalam kesesakan trafik - anda tidak perlu kerap menekan brek untuk memberhentikan kereta
- Fungsi Stop & Go akan memberhentikan kereta anda sepenuhnya jika kereta di hadapan berhenti dan akan meneruskan pemanduan kereta secara autonomi dengan kadar kelajuan yang telah anda tetapkan
- Jika kereta berhenti melebihi tiga saat, anda perlu menekan butang setting kembali untuk meneruskan fungsi Stop & Go (berbeza mengikut jenis kereta)
2. Forward Collision Warning (FCW)
- FCW atau Amaran Pelanggaran Depan berfungsi mengesan halangan di hadapan dan menilai sama ada pelanggaran mungkin berlaku
- Sistem FCW menggunakan radar dan kamera yang terdapat pada kereta untuk mengesan kenderaan (seperti kereta atau motosikal) di hadapan kereta, atau yang sedang menghampiri kereta anda pada kelajuan yang rendah
- Jika pelanggaran mungkin berlaku akibat jarak kurang selamat dengan kenderaan di hadapan, sistem ini biasanya akan memberi amaran pra-pelanggaran kepada pemandu menggunakan mesej papan pemuka atau penggera, supaya pemandu membrek kereta
- Jika pemandu gagal mengambil tindakan, kebiasaannya sistem AEB akan mengambil alih
3. Autonomous Emergency Braking (AEB)
- AEB atau Brek Kecemasan Berautonomi berfungsi menekan brek secara automatik untuk mengelak dari pelanggaran
- Sistem AEB yang paling asas berfungsi pada kelajuan rendah untuk mencegah pelanggaran kecil, manakala sistem yang lebih canggih berfungsi merentasi julat kelajuan yang lebih luas, jadi ia melindungi daripada kemalangan yang lebih serius yang berpotensi untuk kecederaan parah atau kematian
- Selain kereta, sistem AEB juga boleh mengesan penunggang motosikal, basikal dan pejalan kaki, seperti ASA 3.0
4. Lane Departure Warning (LDW)
- LDW atau Amaran Penukaran Lorong telah direka untuk memberi amaran kepada pemandu setiap kali kereta bergerak keluar daripada laluan atau lorong jalannya, melainkan lampu signal dipasang
- LDW menggunakan sensor yang dipasang di cermin pandang belakang atau pengesan laser yang dipasang pada bahagian hadapan kereta anda untuk mengesan penanda lorong di kiri dan kanan kereta anda
- Jika tayar kereta anda terlalu hampir atau menyentuh penanda lorong, sistem ini akan memberi amaran menggunakan penggera, lampu amaran dan/atau gegaran pada stereng
5. Lane Keep Assist (LKA)
- Kebanyakan kereta turut didatangkan dengan LKA atau Bantuan Pengekalan Lorong bagi mengelakkan pemandu terkeluar lorong secara merbahaya
- Jika pemandu tidak bertindak balas kepada sensor amaran, sistem LKA akan menggunakan sedikit daya pembetulan pada stereng untuk membetulkan kembali posisi kereta ke dalam lorong
- Kebiasaannya sistem LKA berfungsi dengan baik di jalan raya dengan penanda lorong yang jelas
6. Blind Spot Monitoring (BSM)
- BSM atau Pengesan Titik Buta mengesan kenderaan yang berada di luar sudut pandangan (titik buta) pemandu, menggunakan sensor pada cermin pandangan sisi
- Sensor akan berbunyi dan menyala jika mengesan kenderaan yang sedang bergerak laju menghampiri kereta anda
- Sistem BSM dapat membantu anda menukar lorong dengan selamat
7. Rear Cross Traffic Alert (RCTA)
- RCTA atau Amaran Lintasan Trafik Belakang membantu anda semasa mengundur kereta dengan mengesan kehadiran kenderaan lain di belakang anda
- RCTA menggunakan radar yang sama seperti BSM
- Sensor akan berbunyi dan menyala apabila mengesan kenderaan lain yang menghampiri kereta anda dari arah belakang
- RCTA dapat membantu anda keluar parkir dengan selamat
8. Automatic High Beam (AHB)
- Ketika memandu pada waktu malam, AHB atau Kawalan Lampu Tinggi Pintar boleh menukar antara lampu tinggi dan rendah secara automatik
- Sensor AHB dapat mengesan lampu kenderaan atau keadaan jalan di hadapan dan menyalakan lampu secara terang atau malap mengikut kesesuaian jalan ketika itu
- Jika AHB mengesan lampu kenderaan lain, maka lampu tinggi (high beam) akan bertukar ke lampu rendah (low beam) secara automatik dan akan bertukar kepada lampu tinggi semula selepas kenderaan itu berlalu
Sistem ini dapat mengelakkan kejadian lampu silau buat pemandu kenderaan di hadapan anda
Sekiranya Tips Ini Bermanfaat Sila Share Kepada Rakan Anda