Tayar merupakan komponen yang amat penting dan ia juga bukannya murah seperti menukar pewangi kereta. Apatah lagi sebuah kereta bukannya mempunyai satu tetapi empat biji tayar. Untuk penukaran biasanya kita perlu menukar sepasang tayar sama di hadapan ataupun di belakang dan bukannya sebiji tayar sekali tukar. Oleh itu tayar kenderaan sewajarnya diberi perhatian yang serius oleh pemilik.
Tayar yang mempunyai tekanan angin yang secukupnya akan bertahan lebih lama berbanding tayar kurang angin ataupun terlebih tekanan angin. Mengikut perkiraan mudah, tayar yang sentiasa mempunyai tekanan 20 peratus lebih rendah berbanding sepatutnya akan mempunyai jangka hayat yang lebih pendek 20 peratus berbanding dengan sepatutnya. Contohnya tayar yang sepatutnya bertahan sehingga 60,000 kilometer cuma akan bertahan sehingga 48,000 kilometer sahaja. Banyak tu tuan-tuan. Tayar yang kurang tekanan juga akan menyebabkan kenderaan menggunakan petrol yang lebih dari sepatutnya berikutan rintangan yang lebih. Ketika mengisi angin, pastikan dengan merujuk carta tekanan angin tayar yang biasanya ada di bahagian sisi pintu sebelah pemandu. Jangan main tekan atau pusing tombol tekanan angin sesuka hati (Kami pernah lihat ada pemandu yang mengisi angin kereta Proton Wira dengan tekanan yang sama untuk lori kontena 18-roda)
TEKANAN ANGIN TAYAR : APA PERLU ANDA TAHU?
- Periksa tekanan angin tayar setiap bulan, termasuk tayar gantian. Walaupun anda tidak mengesan sebarang kecacatan pada tayar, tekanannya akan menurun sebanyak lebih kurang 1 psi (tekanan satu inci persegi dalam unit paun) setiap bulan. Bahkan ia akan turun dengan lebih cepat jika terdapat kebocoran pada badan tayar ataupun kebocoran pada bahagian injap udara.
- Periksa juga tekanan tayar sebelum membuat perjalanan jauh.
- Untuk hasil terbaik, tekanan tayar mesti diperiksa sewaktu tayar dalam keadaan sejuk.
- Jika tayar dalam keadaan panas, tambahkan 4-5 psi kepada ukuran yang diberikan oleh pengeluar ataupun tunggu sehingga tayar anda benar-benar sejuk (Kalau sanggup, sebab biasanya tayar akan menyejuk dalam masa 3 jam selepas anda berhenti).
CARA BETUL MEMERIKSA TEKANAN ANGIN TAYAR
- Cucukkan alat pemeriksa tekanan angin pada injap tayar.
- Bergantung pada jenis alat yang anda gunakan, ia akan segera memberikan bacaan tekanan tayar anda (biasanya dalam bacaan psi)
- Bunyi berdesir merupakan angin yang terkeluar sewaktu menggunakan alat tersebut. Ia tidak akan mengubah tekanan angin tayar kecuali jika anda menggunakan alat tersebut terlalu lama.
- Bandingkan tekanan semasa dengan tekanan sepatutnya untuk kereta anda.
- Jika terlebih tekanan, keluarkan lebihan angin sehingga takat yang sesuai. Jika kurang, tambah secukupnya.
- Jangan bergantung 100 peratus kepada meter tekanan angin di stesen minyak, ia biasanya tidak begitu tepat. Jarang sangat meter di stesen minyak ini dikalibrasi. Jalan selamat ialah dapatkan alat pengukur tekanan sendiri dan pastikan ianya jenis berkualiti.
Proses rotating ini biasanya dilakukan 10,000 kilometer sekali ataupun bergantung kepada keadaan tayar. Posisi tayar (rotating) juga sebaiknya ditukar bergantung kepada kesesuaian untuk memastikan ianya haus pada kadar yang sama. Jika tidak, ada tayar yang akan haus lebih cepat daripada yang lain. Ini kerana keadaan gandar kereta anda yang menerima tekanan yang berbeza sewaktu pemanduan akan mengakibatkan kehausan pada tayar secara tidak sekata. Penukaran posisi tayar adalah salah satu cara untuk memanjangkan hayat tayar-tayar tersebut.
JAJARAN TAYAR (ALLIGNMENT)
Penjajaran tayar merupakan satu proses mudah di mana sedikit pembetulan akan dilakukan pada komponen suspensi hadapan dan belakang. Jika tayar anda tidak dijajar dengan betul, kenderaan anda mungkin tidak selamat untuk dipandu. Anda perlu membuat penjajaran bila:
- Terlanggar sesuatu objek atau lubang di atas jalan raya. (dan merasa terus perbezaan kualiti pemanduan)
- Melihat keadaan bunga tayar yang tidak sekata di bahagian luar tayar.
- Merasakan satu perbezaan dalam kawalan kenderaan sewaktu anda memandu.
- Selepas anda menukar komponen stereng ataupun suspensi.
- Kereta anda sentiasa bergerak ke tepi walaupun sewaktu pemanduan lurus.
- Stereng kereta anda tidak kembali ke posisi asal selepas membelok.
- Kedudukan roda stereng senget ketika memandu di jalan lurus.
Penjajaran tayar juga cukup penting kerana:
- Untuk mengurangkan kehausan tayar dan komponen susupensi selain untuk keselesaan pemandu dan penumpang.
- Meningkatkan prestasi kenderaan dan tahap ekonomi bahan api.
- Meningkatkan kawalan dan keselamatan pemanduan.
IMBANGAN TAYAR (WHEEL BALANCING)
Kadang-kadang sewaktu pemasangan, imbangan di seluruh bahagian rim dan tayar adalah tidak sekata. Sebahagian tayar dan rim akan menjadi lebih berat berbanding sebahagian yang lain. Kesannya ialah pemanduan yang tidak stabil, melantun ataupun membuatkan kenderaan anda bergegar. Imbangan yang baik akan menjadikan kenderaan lebih stabil dan selamat untuk dipandu. Anda sepatutnya membuat imbangan tayar bila:
- Tayar diganti baru
- Sewaktu pemberat imbangan dibuang ataupun terjatuh dengan sendiri.
- Kenderaan anda melantun ataupun bergegar bila dipandu dengan kelajuan tertentu.
Untuk membuat imbangan yang baik, mekanik anda akan menggunakan mesin imbangan khusus yang akan menentukan di mana pemberat perlu diletakkan bagi menghasilkan tayar yang seimbang. Kadangkala pemberat akan diletakkan lebih daripada satu tempat bergantung kepada keperluan. Jika anda terasa kenderaan anda melantun ataupun bergegar tanpa sebab, segeralah merujuk kenderaan ke kedai tayar professional (Imbangan roda perlukan peralatan yang khusus bukannya seperti memeriksa tekanan angin tayar).
PERIKSA KETEBALAN BUNGA TAYAR
Setiap tayar yang dipasarkan mempunyai penunjuk kegunaan bunga tayar untuk keselamatan. Tayar yang sudah kekurangan bunga cukup merbahaya untuk digunakan kerana ia tidak akan memberikan cengkaman yang cukup sewaktu pemanduan apatah lagi untuk memberhentikan kenderaan. Jika kurang pasti, dapatkan nasihat profesional. Bagi yang biasa menggunakan tayar terpakai, teliti betul-betul penunjuk kegunaan bunga tayar kerana ada penjual yang tidak bertanggungjawab akan mengikis penunjuk ini untuk menunjukkan yang tayar tersebut masih mempunyai baki bunga yang selamat. Itulah antara langkah-langkah mudah yang diharapkan dapat membantu anda menyelenggara tayar kenderaan anda dengan lebih baik. Ingat senang ke nak pakai kereta ni? Kalau nak poket selamat, kena la rajin-rajin tambah ilmu tentang penyelenggaraan kereta. harap info ini cukup berguna untuk anda semua (Satu lagi kalau pakai Bezza tak payah taruk rim kankang 18-inci, lepas tu mula komplen kereta EEV tapi kuat makan minyak).
Sekiranya Tips Ini Bermanfaat Sila Share Kepada Rakan Anda