Ketahui Tanda Kereta Anda Perlu ‘Overhaul’


Setiap kali kereta bergerak dalam jarak yang jauh, anda perlu membuat pemeriksaan dengan sebaiknya supaya keadaan kereta anda masih berada dalam keadaan baik.
Namun apabila kereta anda yang sudah “berusia” atau melebihi “mileage” 150,000 km, anda disarankan untuk membuat “overhaul” pada kereta anda.

Overhaul atau turun enjin merupakan membaik-pulih secara menyeluruh pada sesebuah enjin kenderaan.

Setiap komponen enjin akan dileraikan satu-persatu oleh mekanik daripada komponen luar sehingga dalaman.

Mereka akan membuka komponen, membersihkan, membaiki kerosakan, memasang kembali komponen dan penyelarasan akhir.

“Mileage” 150,000 km itu adalah cadangan yang disarankan, namun ia bukanlah kewajipan untuk melakukan “overhaul” apabila mencapai angka tersebut.

Terdapat beberapa gejala yang dapat anda perhatikan untuk mempertimbangkan proses turun enjin iaitu:

1. Ekszos keluar asap putih

Apabila anda mengesan asap putih keluar daripada ekszos, ia merupakan petanda bahawa terdapat minyak yang masuk ke ruang pembakaran. Gejala ini berlaku disebabkan “ring piston” sudah haus pada “bowring piston” .

2. Enjin tidak teratur akibat dalam pencucuh berkerak

Gejala enjin mula tidak teratur apabila anda merasakan prestasi enjin mengalami penurunan, bunyi enjin yang ganjil, tersengguk-sengguk ketika memecut.

Salah satu penyebab enjin pincang adalah palam pencucuh yang tidak mampu bekerja secara maksimum atau mengalami penurunan percikan api.

Ini disebabkan terdapat kerak yang melekat kerana minyak naik hingga ke palam pencucuh.

3. Minyak berkurang

Enjin mula “makan” minyak. Gejala ini boleh dikesan dari jumlah minyak dalam tabung.

Anda boleh menggunakan besi pengukur untuk melihat paras minyak sama ada sudah sampai ke had minimum atau belum.

4. Suhu enjin sering panas

Tidak hanya kerosakan pada sistem penghawa dingin, malah suhu enjin yang kerap berada pada had “overheat” juga boleh menjadi petunjuk kepada nisbah mampatan yang bocor.

Ini boleh disebabkan “packing” kepala silinder yang sudah patah dan menyebabkan air radiator terus berkurang kerana memasuki ke ruang pembakaran.

Akhirnya suhu enjin menjadi lebih panas hingga berisiko mengalami “overheat”.

Sesebuah enjin itu tidak perlu dibuat overhaul sehingga ada kerosakan pada komponen dalaman di bahagian paling dalam enjin iaitu enjin tengah.

Contohnya komponen pada bahagian itu ialah “Crankshaft” dan untuk keluarkannya, semua komponen lain perlu dikeluarkan terlebih dahulu.

Antara sebab lain enjin perlu di overhaul ialah “Rod Jammed”, “bearing jammed”, masalah Gearbox, “Crankcase” pecah dan bocor minyak hitam.

Ketahui 50 Rahsia Penjagaan Kereta Yang Ramai Pomen Tak Nak Anda Tahu



Sekiranya Tips Ini Bermanfaat Sila Share Kepada Rakan Anda

TIPS PENTING PENJAGAAN SISTEM BREK KERETA


Sebagai pemilik mahupun pemandu sebuah kereta kita semestinya mahu melengkapkan diri kita sedikit sebanyak dengan pengetahuan tentang penjagaan sesebuah kereta. Jangan main hentam keromo dalam hal penjagaan kereta kerana satu hari nanti ia akan menyusahkan.

Kali ini kami akan berikan sedikit tips tentang penjagaan brek. Rasanya semua orang pun tahu tentang kepentingan brek bagi sebuah kereta kan? Memandu kereta tanpa brek ataupun dengan brek yang rosak ibarat mengambil jalan pintas ke alam barzah

Sama seperti komponen lain, brek juga akan memberikan tanda-tanda awal bila ia mula bermasalah. Macam penyakit manusia jugalah, mesti ada simptom tertentu yang akan membuatkan anda bergegas ke hospital.

Pemandu yang bijak akan sentiasa peka dengan isyarat yang diberikan oleh kereta mereka. Brek yang diselenggara dengan baik juga akan menyelamatkan nyawa. Jika ada sebarang masalah dikesan, sebaiknya anda segera membawa kereta anda ke bengkel yang mahir untuk diperbaiki.

Sebaik-baiknya sistem brek kereta anda diperiksa sekurang-kurangnya setahun sekali tetapi ada masa yang sama jangan membiarkan brek anda tanpa sebarang pemeriksaan jika ia mula memberi tanda-tanda kerosakan.

Berikut adalah tanda-tanda biasa yang harus anda beri perhatian tentang brek kereta anda. Mengabaikannya bermakna anda akan menyusahkan diri anda dan mungkin juga orang lain.

  1. Bunyi bising : Bunyi geseran, kisaran ataupun bunyi berdenting sewaktu menggunakan brek. Tidak kira macam mana bunyi sekalipun asalkan ia mula berbunyi sewaktu anda mengenakan brek harus diberikan perhatian segera.
  2. Hilang Imbangan : Kereta anda hilang imbangan ataupun seperti di tarik ke bahagian kiri ataupun kanan jalan sewaktu mengenakan brek.
  3. Pedal rendah : Pedal brek perlu ditekan sehingga menyentuh lantai kereta sebelum mula mencengkam.
  4. Pedal tinggi : Anda perlu menekan sekuat hati sebelum brek mula mencengkam.
  5. Terlalu sensitif : Brek diaktifkan terlalu cepat walaupun dengan sentuhan ringan pada pedal brek.
  6. Gegaran : Pedal brek bergegar dan bergetar walaupun anda membrek dalam keadaan biasa.
  7. Amaran lampu : Lampu amaran brek menyala pada paparan penunjuk papan pemuka kereta anda.
Kesemua tanda-tanda yang disebutkan di atas merupakan tanda-tanda yang diberikan oleh sistem brek kereta anda tentang masalah yang bakal mendatang. Jangan sesekali mengabaikannya kerana ia merupakan satu tindakan yang cukup merbahaya.  Brek merupakan komponen yang akan mengalami kehausan dan harus diganti dan diselenggara bila tiba masanya.

Terdapat beberapa faktor yang mengakibatkan brek haus dengan cepat walaupun anda menggunakan pad brek yang berkualiti tinggi antaranya :

  • Tabiat pemanduan : Pemanduan yang agresif akan mengakibatkan kehausan yang cepat pada pad brek.
  • Keadaan operasi : Kehausan juga bergantung kepada pengoperasian kenderaan. Jika menggunakannya untuk tugas-tugas berat ataupun di kawasan di mana muka buminya bergunung-ganang, semestinya ia juga akan menjejaskan pad brek anda lebih cepat.
  • Jenis kereta: Alamak, kalau dah pakai Nissan GT-R takkanlah kita harap kadar kehausan pad brek akan sama seperti Axia kan?
  • Kualiti pad brek : Pad brek kereta datang dalam pelbagai kualiti dengan jenama yang pelbagai. Jika anda berkemampuan apa salahnya mendapatkan pad brek yang lebih berkualiti untuk peningkatan prestasi brek yang lebih baik.

Akhir sekali, janganlah sampai angkup brek anda sudah bergesel dengan cakera baru mahu menukar pad brek. Geseran antara besi dengan besi akan mengakibatkan kerosakan yang besar pada cakera brek.

Ketahui 50 Rahsia Penjagaan Kereta Yang Ramai Pomen Tak Nak Anda Tahu



Sekiranya Tips Ini Bermanfaat Sila Share Kepada Rakan Anda

Apakah Itu Sistem Bantuan Pemandu (ADAS) Dan Fungsinya


Tahukah anda apa itu ADAS dan fungsinya bagi sebuah kereta? 

ADAS ialah singkatan bagi Advanced Driver-Assistance System atau Sistem Bantuan Pemandu. Ia merangkumi semua sistem keselamatan aktif di dalam sesebuah kereta.  

Semakin banyak model baharu kini didatangkan dengan ADAS, namun terdapat segelintir pemandu tidak faham fungsi di sebalik ciri keselamatan yang ditawarkan kereta baru mereka, mengikut laporan AAA Foundation For Traffic Safety.  

Sebenarnya, ada banyak ciri keselamatan yang dirangkumi ADAS. Di sini, kami senaraikan sistem yang kebiasaannya ada pada kebanyakan kereta di pasaran, termasuk fungsinya dalam membantu pemanduan anda.  

1. Adaptive Cruise Control (ACC) with Stop & Go
  • ACC atau Kawalan Pelayaran Adaptif adalah sistem kawalan pelayaran pintar yang membantu melaraskan kelajuan kereta anda seiring dengan kelajuan kereta di hadapan anda  
  • ACC juga memastikan jarak yang selamat antara kereta anda dengan kereta di hadapan menggunakan sensor yang terdapat di hadapan kereta anda 
  • ACC perlu diaktifkan dengan menetapkan jarak dan kelajuan pada butang setting dalam kereta anda  
  • Setelah diaktifkan, anda hanya perlu mengemudi stereng dan membiarkan sistem ACC untuk mengawal brek serta kelajuan kereta anda  
  • ACC kebiasaannya hadir dengan fungsi Stop & Go yang membantu pemanduan ketika di dalam kesesakan trafik - anda tidak perlu kerap menekan brek untuk memberhentikan kereta  
  • Fungsi Stop & Go akan memberhentikan kereta anda sepenuhnya jika kereta di hadapan berhenti dan akan meneruskan pemanduan kereta secara autonomi dengan kadar kelajuan yang telah anda tetapkan  
  • Jika kereta berhenti melebihi tiga saat, anda perlu menekan butang setting kembali untuk meneruskan fungsi Stop & Go (berbeza mengikut jenis kereta)  

2. Forward Collision Warning (FCW) 
  • FCW atau Amaran Pelanggaran Depan berfungsi mengesan halangan di hadapan dan menilai sama ada pelanggaran mungkin berlaku  
  • Sistem FCW menggunakan radar dan kamera yang terdapat pada kereta untuk mengesan kenderaan (seperti kereta atau motosikal) di hadapan kereta, atau yang sedang menghampiri kereta anda pada kelajuan yang rendah  
  • Jika pelanggaran mungkin berlaku akibat jarak kurang selamat dengan kenderaan di hadapan, sistem ini biasanya akan memberi amaran pra-pelanggaran kepada pemandu menggunakan mesej papan pemuka atau penggera, supaya pemandu membrek kereta  
  • Jika pemandu gagal mengambil tindakan, kebiasaannya sistem AEB akan mengambil alih  

3. Autonomous Emergency Braking (AEB) 
  • AEB atau Brek Kecemasan Berautonomi berfungsi menekan brek secara automatik untuk mengelak dari pelanggaran  
  • Sistem AEB yang paling asas berfungsi pada kelajuan rendah untuk mencegah pelanggaran kecil, manakala sistem yang lebih canggih berfungsi merentasi julat kelajuan yang lebih luas, jadi ia melindungi daripada kemalangan yang lebih serius yang berpotensi untuk kecederaan parah atau kematian  
  • Selain kereta, sistem AEB juga boleh mengesan penunggang motosikal, basikal dan pejalan kaki, seperti ASA 3.0 

4. Lane Departure Warning (LDW) 
  • LDW atau Amaran Penukaran Lorong telah direka untuk memberi amaran kepada pemandu setiap kali kereta bergerak keluar daripada laluan atau lorong jalannya, melainkan lampu signal dipasang  
  • LDW menggunakan sensor yang dipasang di cermin pandang belakang atau pengesan laser yang dipasang pada bahagian hadapan kereta anda untuk mengesan penanda lorong di kiri dan kanan kereta anda  
  • Jika tayar kereta anda terlalu hampir atau menyentuh penanda lorong, sistem ini akan memberi amaran menggunakan penggera, lampu amaran dan/atau gegaran pada stereng  

5. Lane Keep Assist (LKA) 
  • Kebanyakan kereta turut didatangkan dengan LKA atau Bantuan Pengekalan Lorong bagi mengelakkan pemandu terkeluar lorong secara merbahaya  
  • Jika pemandu tidak bertindak balas kepada sensor amaran, sistem LKA akan menggunakan sedikit daya pembetulan pada stereng untuk membetulkan kembali posisi kereta ke dalam lorong  
  • Kebiasaannya sistem LKA berfungsi dengan baik di jalan raya dengan penanda lorong yang jelas  

6. Blind Spot Monitoring (BSM)  
  • BSM atau Pengesan Titik Buta mengesan kenderaan yang berada di luar sudut pandangan (titik buta) pemandu, menggunakan sensor pada cermin pandangan sisi  
  • Sensor akan berbunyi dan menyala jika mengesan kenderaan yang sedang bergerak laju menghampiri kereta anda  
  • Sistem BSM dapat membantu anda menukar lorong dengan selamat   

7. Rear Cross Traffic Alert (RCTA) 
  • RCTA atau Amaran Lintasan Trafik Belakang membantu anda semasa mengundur kereta dengan mengesan kehadiran kenderaan lain di belakang anda  
  • RCTA menggunakan radar yang sama seperti BSM  
  • Sensor akan berbunyi dan menyala apabila mengesan kenderaan lain yang menghampiri kereta anda dari arah belakang  
  • RCTA dapat membantu anda keluar parkir dengan selamat   

8. Automatic High Beam (AHB)  
  • Ketika memandu pada waktu malam, AHB atau Kawalan Lampu Tinggi Pintar boleh menukar antara lampu tinggi dan rendah secara automatik  
  • Sensor AHB dapat mengesan lampu kenderaan atau keadaan jalan di hadapan dan menyalakan lampu secara terang atau malap mengikut kesesuaian jalan ketika itu  
  • Jika AHB mengesan lampu kenderaan lain, maka lampu tinggi (high beam) akan bertukar ke lampu rendah (low beam) secara automatik dan akan bertukar kepada lampu tinggi semula selepas kenderaan itu berlalu  
Sistem ini dapat mengelakkan kejadian lampu silau buat pemandu kenderaan di hadapan anda  


Ketahui 50 Rahsia Penjagaan Kereta Yang Ramai Pomen Tak Nak Anda Tahu



Sekiranya Tips Ini Bermanfaat Sila Share Kepada Rakan Anda

8 Tip Elak Microsleep Untuk Pemanduan Jarak Jauh


Pernah tak anda mengalami situasi dimana semasa memandu, hilang tumpuan dan mungkin terlelap seketika? Nah, itu dinamakan microsleep. Ia terjadi tanpa amaran, apabila badan menjadi letih, otak akan ‘tertidur’ selama beberapa saat walaupun mata kita terbuka dan tangan sedang memegang stereng kereta.

Biasanya, microsleep terjadi apabila seseorang itu memandu dalam jarak jauh, di jalan yang lurus ditambah dengan faktor pemanduan serta keadaan kesihatan dan kecergasan pemandu.

Microsleep ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan kerana itu, penting untuk korang sentiasa berhati-hati dan sekiranya sudah mula tersengguk-sengguk dan menguap berulangkali ketika memandu, korang perlu berhenti berehat sebentar dan bukanlah meningkatkan kelajuan kerana ia sebenarnya tidak membuatkan korang menjadi lebih peka ketika memandu.

Lebih membimbangkan, akibat terkejut selepas terjaga dari microsleep, individu tersebut akan tersentak dan mempunyai risiko kekejangan.

Berhenti segera jika korang mengalami simptom-simptom tersebut semasa memandu :

• Kelopak mata kuyu
• Tersengguk-sengguk
• Menguap berulang kali
• Mata terkebil-kebil
• Tersasar dari lorong
• Tatapan kosong
• Mengelamun

Untuk mencegah tragedi ngeri, apa yang boleh dibuat?

• Berhenti di tempat selamat
• Lakukan power nap
• Berehat setiap 2 jam perjalanan
• Tukar pemandu dan tolong percayakan isteri/ahli keluarga/teman untuk mengganti tempat pemandu
• Mengambil vitamin atau kafein
• Berbual dengan teman seperjalanan
• Jangan memandu jika mengantuk

Diharap agar masyarakat kita mengambil ikhtibar tentang apa yang sudah berlaku dan pastikan selepas ini jika korang mengantuk, jangan memandu dan berhentilah seketika untuk berehat. Paling selamat, bawa teman lain yang boleh memandu untuk mengambil giliran memandu.

Ketahui 50 Rahsia Penjagaan Kereta Yang Ramai Pomen Tak Nak Anda Tahu



Sekiranya Tips Ini Bermanfaat Sila Share Kepada Rakan Anda

Tips Tinggalkan Kereta Dalam Jangka Masa Lama


Apabila lama tidak dipandu, kerosakan pada beberapa komponen kadangkala tidak dapat dielakkan.

Bagaimanapun, ada beberapa tip boleh dilakukan untuk mengurangkan risiko kerosakan terhadap kenderaan yang terbiar lama.

1. JANGAN TARIK BREK TANGAN 

Membiarkan brek tangan dalam jangka masa lama boleh membuatkan pad brek melekat pada cakera atau dram. Cara mengelakkan masalah ini, letakkan objek penahan seperti batu atau bongkah kayu pada tayar supaya kereta tidak bergerak. Tinggalkan kereta pada gear neutral. 

2. JANGAN PARKIR LUAR / GUNA SELIMUT KERETA

Selagi boleh, cuba parkir kereta dalam bangunan, garaj atau kawasan berbumbung kerana lebih selamat dan bersih. Jika tiada pilihan selain parkir luar, belanjakan sedikit wang untuk beli selimut kereta berkualiti. Pastikan selimut yang dibeli sesuai untuk model atau jenis kereta. 

Elakkan guna selimut jika kereta diparkir di dalam kerana kelembapan dalam kereta boleh tersejat lebih cepat.

3. CABUT PALAM PENCUCUH (SPARK PLUG)

Jika berniat mahu meninggalkan kereta dalam jangka masa lama, boleh cuba cabut semua palam pencucuh dan sembur sedikit minyak pada soket palam sebelum memasangnya semula nanti. Ini membantu mengelakkan bahagian dalaman kepala silinder berkarat. 

Anda juga boleh menggunakan aditif bahan api untuk tambahan salutan perlindungan kepada dalaman enjin. Bagaimanapun, pastikan anda selesa dan tahu mengendalikan bahagian mekanikal sebelum lakukan perkara itu.

4. BERSIHKAN KABIN SEBELUM PARKIR

Ada pemilik sering meninggalkan sampah dalam kereta seperti pembungkus makanan, surat khabar lama, botol air dan lain-lain. Semua bahan itu boleh menarik perhatian serangga perosak seperti lipas dan semut.

Jadi, sebelum kereta ditinggalkan lama, apa kata bersihkan bahagian dalaman secara menyeluruh. Nanti apabila sudah mahu memandu semula, kepala pun tidak serabut sangat.

5. ISI MINYAK

Antara isu besar apabila kereta ditinggalkan lama ialah masalah karat dalam tangki minyak. Cara terbaik mengelakkan masalah tersebut adalah isi minyak penuh dengan bahan api berkualiti dan tambah sedikit aditif bahan api.

Ini bertujuan mengelakkan udara lembap memasuki tangki dan mengurangkan risiko karat. Pastikan tangki minyak ditutup sepenuhnya. 

6. JAGA BATERI

Tanggalkan bateri jika nahu meninggalkan kereta dengan lama. Lebih baik, sapu sedikit gel petroleum atau gris pada terminal dan hujung wayar supaya tidak berkarat.

Pastikan bateri dicas sepenuhnya dan isi air bateri mengikut saranan. Simpan bateri di tempat redup dan kering yang jauh daripada cahaya matahari.

7. JAGA CAT KERETA

Cat kereta boleh rosak jika kereta diparkir di luar walaupun selimut dipasang. Ini kerana kereta masih terdedah kepada habuk, kotoran dan udara lembap.

Kerosakan itu pula boleh dielakkan dengan membersihkan luar badan kereta secara menyeluruh. Pastikan semua kotoran dibersihkan sebelum memakai salutan lilin (wax). Selepas itu barulah boleh diselimutkan.

8. TINGGIKAN KERETA

Kereta yang ditinggalkan lama boleh membuatkan tayar kempis. Elakkan tayar kempis dengan menggunakan jek kereta supaya berat kereta tidak membebankan tayar. Bagaimanapun, kereta sport dengan tayar profil rendah boleh ditinggalkan selama dua bulan tanpa merosakkan tayar.

9. TUKAR MINYAK ENJIN, DAN PENAPIS

Lebih baik tukar minyak enjin dan penapis udara sebelum meninggalkan kereta. Bagaimanapun, pandu kereta selama beberapa kilometer untuk memastikan minyak baharu meliputi semua bahagian dalaman enjin.

10. PASTIKAN TEKANAN ANGIN TAYAR CUKUP

Periksa tekanan tayar dan pastikan tekanan berada pada paras sesuai. Ini bertujuan mengelakkan bahagian dinding tayar merekah dan kempis. Periksa injap dan penutup injap untuk kebocoran dan pastikan ditutup sepenuhnya.

Ketahui 50 Rahsia Penjagaan Kereta Yang Ramai Pomen Tak Nak Anda Tahu



Sekiranya Tips Ini Bermanfaat Sila Share Kepada Rakan Anda